
Wasiat mempunyai rukun dan syarat seperti berikut:
(i) Pewasiat (Musi)
Pewasiat hendaklah seorang yang mukallaf (baligh dan berakal), merdeka dan dengan pilihan sendiri serta pemilik kepada harta yang diwasiatkan.
Menurut Seksyen 6, Enakmen Wasiat Orang Islam Selangor 1999, Enakmen Wasiat Orang Islam Melaka 2005 dan Enakmen Wasiat Orang Islam Negeri Sembilan 2004 memperuntukkan bahawa seorang pewasiat hendaklah telah mencapai umur 18 tahun, sempurna akal, bertindak dengan sukarela dan tidak dipaksa serta tidak dilarang daripada menguruskan hartanya.
(ii) Penerima wasiat (Musa lahu)
Penerima wasiat hendaklah diketahui (kecuali untuk perkara kebajikan), wujud pada masa kematian pewasiat, berkeahlian memiliki harta dan bukan waris mengikut pendapat jumhur ulama’ (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali). Penerima wasiat juga boleh terdiri daripada golongan fakir miskin, ulamak, masjid, sekolah dan sebagainya yang berbentuk umum dan tidak dikhususkan, tetapi wasiat tersebut bukanlan bertujuan maksiat.
(iii) Harta yang diwasiatkan (Musa bihi)
Harta yang diwasiatkan sama ada harta alih atau tak alih atau manfaat yang bernilai di sisi syarak, boleh dipindah milik selepas kematian pewasiat dan wujud dalam milikan pewasiat (jika ditentukan) atau wujud semasa kematian pewasiat (jika tidak ditentukan).
(iv) Sighah (Ijab dan Qabul)
Sighah wasiat boleh berlaku sama ada secara sarih atau kinayah dan sama ada melalui lisan, tulisan atau isyarat. Antara syarat sighah adalah seperti berikut:
- Qabul atau penerimaan dianggap sah jika dibuat selepas kematian pemberi wasiat.
- Penerimaan atau penolakan yang dibuat pada masa hidup pemberi wasiat tidak dikira.
- Penerimaan oleh penerima wasiat tidak disyaratkan dengan segera apabila telah berlaku kematian pemberi wasiat.
- Sesuatu wasiat itu tidak memerlukan penerimaan sekiranya ia untuk pihak yang umum yang tidak ditentukan seperti wasiat untuk fakir miskin dan ulamak.
- Jika wasiat itu untuk seseorang yang khusus atau orang-orang yang tertentu yang terhad bilangannya maka disyaratkan penerimaan atau persetujuan penerima wasiat sebagai bukti penerimaan kerana ada kemungkinan penerima wasiat menolak wasiat
tersebut. Jika berlaku penolakan daripada penerima wasiat maka dikatakan wasiat itu batal.
- Pewasiat boleh meletakkan syarat dalam wasiatnya tetapi hendaklah tidak menyalahi syarak. Pemberi wasiat boleh berwasiat kepada bayi yang masih dalam kandungan dengan syarat bayi tersebut wujud pada masa wasiat itu dibuat dan bayi itu hendaklah
dilahirkan hidup.
- Sekiranya penerima wasiat meninggal dunia selepas pewasiat tetapi belum sempat menyatakan sama ada menerima atau menolak wasiat tersebut, maka waris penerima wasiat boleh sama ada menerima atau menolak wasiat tersebut.
No comments:
Post a Comment